[VIDEO] Polis siasat insiden penunggang motosikal tersungkur jadi mangsa langgar lari SUV mewah


  • 112
  • Isnin, 26 Jun 2023

Tangkap layar seorang penunggang motosikal terbaring atas jalan selepas kes langgar lari di persimpangan Damansara Utama pada Ahad.

SEORANG penunggang motosikal dipercayai cedera parah selepas menjadi mangsa langgar lari di sebuah jalan raya dekat persimpangan Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) menghala ke Tol Damansara , Selangor pada Ahad.

Insiden itu turut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam yang turut melalui jalan raya berkenaan.

Menerusi video berdurasi kurang seminit itu, penunggang motosikal tersebut berada di lorong tengah jalan raya sebelum sebuah kenderaan jenis Volvo XC90 dengan nombor plat V** 5*** meluncur laju merempuhnya dari belakang.

Impak daripada rempuhan tersebut menyebabkan mangsa terjatuh dan terseret ke tengah jalan.

Namun apa yang mengejutkan dalam rakaman tersebut ialah tindakan tidak berhati perut pemandu Volvo berkenaan yang terus melarikan diri.

Mangsa yang terbaring kesakitan dibantu oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

Dalam perkembangan terbaru, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memaklumkan bahawa, pemandu kereta jenis Volvo yang tular melanggar lari motosikal di Lebuh Raya Sprint menghala ke Tol Damansara, sudah dirakam keterangan pada Isnin.

Katanya, pihaknya terkesan video tular kemalangan membabitkan dua kenderaan tersebut dimuat naik di Facebook dan rakaman tersebut memaparkan satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta jenis Volvo.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut berlaku sekitar pukul 7.10 petang, semalam (Ahad).

“Pihak kami menerima laporan polis daripada pemandu Volvo berusia 51 tahun berhubung kejadian itu, hari ini (Isnin),” katanya dalam kenyataan.

Menurut Fakhruddin, rakaman keterangan daripada lelaki tempatan tersebut sudah diambil pada pukul 12.03 tengah hari Isnin manakala penunggang motosikal masih dikesan.

“Penunggang motosikal yang terlibat diminta tampil membuat laporan polis segera untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bagi saksi melihat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram