[VIDEO] Berhenti kejap dan 'blah', warga emas didakwa langgar penunggang motor hingga kaku atas jalan


  • Tular
  • Isnin, 12 Jun 2023

Tangkap layar video kemalangan melibatkan sebuah kenderaan dan penunggang motosikal di sebuah persimpangan lampu isyarat di hadapan sekolah STAR, Ipoh pada Isnin.

TULAR satu video memaparkan seorang penunggang motosikal didakwa menjadi mangsa langgar lari dalam satu kejadian kemalangan di Ipoh, Perak pada Isnin.

Melalui video yang dimuat naik di halaman Facebook Viral Perak, kejadian kemalangan itu melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang dipandu laju di sebuah persimpangan lampu isyarat di hadapan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh.

"Viva ini dapat lesen dari mana? kejadian pagi tadi di persimpangan lampu isyarat sekolah STAR, Ipoh," katanya.

Insiden kemalangan itu turut berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) orang awam yang dikenali sebagai Eliana Mahmud yang berada di lokasi berkenaan.

Berdasarkan maklumat data melalui dashcam tersebut, insiden itu berlaku pada pukul 8.16 pagi Isnin.

Dalam video berdurasi 29 saat, jelas kelihatan Viva terbabit memandu dengan laju dan menurut sumber, kenderaan itu juga melanggar lampu isyarat sebelum merempuh penunggang motosikal berkenaan.

Impak daripada perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa terbaring kaku di atas jalan dipercayai tidak sedarkan diri.

Menurut pentadbir halaman Facebook berkenaan, pemandu Viva tersebut sempat memberhentikan kenderaannya sebelum melarikan diri.

"Pemandu berhenti sekejap dan terus beredar. Pemilik dashcam cuba mengejar Viva terbabit namun gagal," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna media sosial Rose Marina Shamsuddin, berkongsi satu gambar seorang warga emas wanita yang didakwa pemandu Viva berkenaan.

Setakat berita ini ditulis, belum dapat dipastikan kecederaan sebenar yang dialami mangsa dan belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak polis setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram