Dua budak lemas nahas bot karam di Semporna: Hajat 4 sekeluarga nak beli ikan sebelum dipukul ombak


  • 112
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Pihak bomba menjalankan operasi pencarian seorang lagi mangsa kanak-kanak di perairan Pulau Sipanggu hingga Pulau Karindingin, Semporna, Sabah. — Ihsan bomba

TRAGEDI bot karam di perairan Semporna, Sabah pada Jumaat, berlaku ketika bot yang membawa mangsa dalam perjalanan ke Pulau Menampilik untuk membeli ikan sebelum dijual semula di pekan, kata polis Sabah.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal mendapati bot itu dilihat dalam keadaan terumbang-ambing sebelum karam dipukul ombak yang kuat.

"Terdapat empat mangsa dan mereka ke Pulau Menampilik untuk membeli ikan yang ingin dijual di pekan, namun akibat kejadian itu, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun telah meninggal dunia.

"Seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh tahun memakai t-shirt berwarna jingga dan berseluar pendek merah gelap hilang dalam kejadian itu.

"Dua lelaki yang selamat berusia 25 dan 28 tahun dikenal pasti sebagai bapa kepada dua kanak-kanak berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Farhan Lee berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa telah diaktifkan bersama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Taman-Taman Sabah (TTS).

"Disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu kini, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa berada di laut," katanya.

Terdahulu, Padli Ampit, 7, hilang dilaporkan dalam kejadian itu manakala Nasirin Katibin, 7, disahkan meninggal dunia.

Terdapat dua mangsa lelaki terselamat iaitu bapa kepada kedua-dua mangsa, Ampit Gopek, 25 dan Katibin Husni, 28. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram