Miliki dadah lebih RM22,000, warga Thailand antara 6 ditahan di Pasir Mas


  • 112
  • Khamis, 13 Jul 2023

ENAM individu lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan di Pasir Mas, Kelantan kerana memiliki dadah. — Gambar hiasan

ENAM lelaki termasuk seorang warga Thailand berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Pasir Mas, Kelantan pada 11 Julai dan Rabu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, hasil penahanan kesemua suspek pihaknya berjaya merampas sejumlah dadah jenis heroin, pil Yaba dan ganja yang dianggarkan bernilai lebih RM22,000.

"Dalam serbuan pertama pada 11 Julai pukul 7 malam di kawasan bendang padi di Kampung Slow Machang, Kelantan, empat lelaki tempatan ditahan dan menemukan dadah jenis heroin seberat 15.93 gram serta 60 biji pil Yaba dianggarkan bernilai RM6,600.

"Hasil semakan mendapati kesemua yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau serta positif dadah dan direman bermula Rabu hingga 18 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pada pukul 4.30 petang di Meranti, seorang lelaki tempatan dan warga Thailand ditahan dan ganja seberat lima kilogram dianggarkan bernilai RM15,500 turut dirampas.

"Semakan rekod mendapati warga tempatan tersebut mempunyai dua rekod berkaitan dadah, manakala kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamin," katanya menambah kedua-dua suspek akan ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram