SEORANG suami berdepan detik cemas apabila menerima panggilan telefon dari isterinya yang dikatakan terlibat dalam satu insiden kemalangan di Sentul, Kuala Lumpur pada Selasa.
Ketika kejadian, mangsa yang merupakan pemandu wanita bersama seorang kanak-kanak dan bayi berusia 10 bulan, difahamkan sedang dalam perjalanan untuk menghantar anaknya ke kelas silat.
Namun, ketika di persimpangan lampu trafik, si pemandu yang terlebih dahulu memberhentikan kenderaannya dirempuh lori terbabit yang datang meluru dari arah belakang.
Tersentak dengan pelanggaran tersebut, suara tangisan bayi dan kanak-kanak itu jelas kedengaran sebaik kedua-dua kenderaan tersebut terhenti di tengah jalan.
Menurut perkongsian si suami di laman Facebook, isteri dan anak-anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan serius dengan hanya terdapat kesan lebam dan bengkak pada badan mereka.
Namun, anak-anaknya dikatakan masih lagi trauma dan terkejut dengan insiden yang melanda.
"Alhamdulillah mujur anak-anak tiada yang serius hanya kesan lebam dan bengkak dihadapi.
"Doakan urusan kami sekeluarga dipermudahkan, kereta baru enam bulan dijaga elok dah kena macam ini, kesian anak saya masih trauma dan terkejut sampai sekarang," katanya.
Belum ada kenyataan polis berhubung kemalangan itu setakat ini dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram