[VIDEO] Helah pasangan rempit cuba perdaya polis, bagi signal kiri tapi ‘konar’ ke kanan di JB


  • Tular
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Tangkap layar aksi mengejar antara kenderaan polis dan dua mat rempit di Jalan Kasa, Taman Sentosa, Johor Bahru, Johor pada Khamis.

DUA mat rempit dirakam cuba melarikan diri daripada kenderaan polis di sebuah kawasan kediaman dekat Jalan Kasa, Taman Sentosa, Johor Bahru, Johor pada Khamis.

Ketika kejadian, penunggang motosikal terbabit dipercayai cuba meloloskan diri daripada tangkapan pihak berkuasa dan video itu mula tular sejak Jumaat malam.

Memecut laju di kawasan berkenaan, tindakan si penunggang yang cuba mempamerkan helah untuk memperdaya polis mengundang perhatian ramai apabila kerap menggunakan lampu 'signal' ketika memecut laju di laluan tersebut.

Ada ketika suspek dilihat memberikan signal ke kiri, namun sebaliknya menukar laluan ke simpang kanan seolah-olah cuba memperdayakan kereta peronda terbabit.

Dirakamkan menerusi kamera dashcam, aksi dramatik itu hangat diperkatakan di laman media.

Mempamerkan aksi berbahaya, individu terbabit beberapa kali dilihat hampir terjatuh ketika di selekoh namun terus menunggang laju saat dihampiri kenderaan polis tersebut.

Namun, kedua-dua pemuda itu berjaya melarikan diri sebaik melepasi kawasan sempit di sebuah lorong yang dikatakan menuju ke laluan belakang rumah lokasi berkenaan.

Rakaman berdurasi satu minit tujuh saat itu berakhir dengan penunggang terbabit berjaya melepaskan diri daripada ditangkap.

Tiada sebarang kenyataan polis berhubung kes itu setakat ini dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram