[VIDEO] Tuntut keadilan demi kematian anak, suami isteri sanggup berkaki ayam jalan kaki ke IPD Ipoh


  • 112
  • Rabu, 12 Jul 2023

Thanes yang berusia empat tahun ditemui tidak sedarkan diri di kolam renang bersebelahan tadika.

TINDAKAN pasangan suami isteri berjalan kaki tanpa menggunakan kasut dalam keadaan cuaca panas sambil memegang sepanduk menuntut keadilan bagi kematian anak lelaki mereka di sebuah jalan raya dekat Ipoh, Perak mengundang perasaan sebak pengguna media sosial baru-baru ini.

Difahamkan, mereka berbuat demikian untuk menuntut keadilan bagi satu-satunya anak tunggal mereka V. Thanesh Nair yang ditemukan lemas dalam kolam renang di sebuah pusat jagaan kanak-kanak pada April lalu.

Dalam video tersebut, pasangan itu dikatakan berjalan kaki dari pusat jagaan kanak-kanak yang terletak di Bandar Baru Sri Klebang ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh dengan membawa sepanduk 'Justice For Thanes' (Keadilan untuk Thanesh).

Sebelum ini, Majoriti melaporkan ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di sebuah kolam di Bandar Baru Sri Klebang mendakwa pihak pengurusan tadika tersebut bersikap cuai.

D. Nilaveni, 40, berkata, anak tunggalnya, V. Thanes Nair, meninggal dunia pada Ahad di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRBP) kira-kira pukul 10.35 pagi setelah bertarung nyawa selama beberapa hari sejak dimasukkan ke hospital pada 17 April lalu.

Dia turut mempersoalkan keberadaan guru dan kakitangan tadika tersebut ketika kejadian.

BACA LAGI : Ibu dakwa tadika cuai, punca anak tunggal lemas

Video berdurasi 22 saat itu juga turut mengundang pelbagai persoalan daripada warga maya dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi membantu pasangan tersebut menuntut keadilan.

Sementara itu, polis menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak menjalankan siasatan secara telus, terhadap kes seorang kanak-kanak yang dipercayai mati akibat kecuaian pihak taska, di Bandar Baru Sri Klebang di sini seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 30 saat di Facebook milik Sathruhan Manian pada Selasa, berhubung dakwaan itu yang menarik perhatian masyarakat umum.

"Pihak polis memandang serius terhadap dakwaan tidak berasas dan penyebaran maklumat palsu melalui media sosial, oleh pemilik akaun Facebook tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Yahaya berkata satu laporan mati mengejut sudah dibuka, bagi menyiasat kematian kanak-kanak berusia empat tahun itu selepas menerima laporan mengenai kejadian lemas pada 18 April lepas.

Katanya, pihaknya telah menyiasat kes itu secara teliti, dan berjaya memperoleh arahan pertuduhan terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas kejadian berkenaan di Mahkamah Majistret Ipoh, di bawah Seksyen 33(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.

"Kita telah menahan seorang wanita berumur 58 tahun, yang merupakan guru besar taska berkenaan di IPD Ipoh pada Selasa dan akan didakwa Rabu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram