Dera kanak-kanak di taska, polis Ipoh terima 5 lagi laporan


  • 112
  • Isnin, 10 Jul 2023

Pihak polis turut menerima lima laporan daripada ibu bapa melibatkan lima mangsa kanak-kanak dalam lingkungan umur setahun hingga dua tahun yang dijaga oleh taska tersebut.

GARA-GARA disyaki mendera seorang budak perempuan di taska, polis menahan tiga orang wanita dipercayai pengurus dan guru di premis tersebut di Taman Meru Perdana 2, Ipoh, Perak pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun memaklumkan anak perempuannya berusia dua tahun cedera di lengan kirinya semasa diambil di taska terbabit.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan menganiayai kanak-kanak dengan cara yang menyebabkan kecederaan fizikal.

"Siasatan polis berjaya menangkap tiga orang perempuan warga tempatan dalam lingkungan umur antara 26 hingga 51 tahun yang merupakan seorang pengurus dan guru taska berkenaan untuk membantu siasatan.

"Pihak siasatan juga berjaya memperolehi perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat ke atas ketiga-tiga suspek untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, hingga kini, pihaknya turut menerima lima laporan daripada ibu bapa melibatkan lima mangsa kanak-kanak dalam lingkungan umur setahun hingga dua tahun yang dijaga oleh taska tersebut.

Bagaimanapun katanya, pihak siasatan sedang melengkapkan siasatan kes terbabit dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram