[VIDEO] Kakak kaunter cedera disamun lelaki bersenjatakan parang di hotel bajet Kluang


  • 112
  • Ahad, 09 Jul 2023

Tangkap layar rakaman tular kejadian seorang wanita disamun di sebuah hotel bajet di Kluang. — Twitter

SEORANG pekerja wanita berdepan detik cemas dan cedera di tangan semasa cuba melawan dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di kaunter hotel bajet di Jalan Sultanah, Kluang, Johor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 12.55 tengah malam Rabu itu berlaku semasa wanita berkenaan sedang bekerja sebelum didatangi dua lelaki dengan salah seorang daripadanya membawa parang.

"Pada mulanya seorang daripada suspek pergi ke kaunter untuk berbual-bual dengan mangsa.

"Kemudian suspek kedua masuk dengan memegang sebilah parang terus mengacukan kepada mangsa dan menggeledah laci kaunter.

"Mangsa mengalami kecederaan di tangan sebelah kiri semasa cuba melawan suspek kedua yang mengambil telefon bimbit miliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya lagi, suspek tersebut mengambil wang tunai milik majikan mangsa berjumlah RM350 dan kedua-duanya melarikan diri dengan sebuah kereta Toyota Vios putih.

"Kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan," katanya.

Bahrin turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat jika berlaku kejadian jenayah menerusi talian 07-7784222 atau hotline 07-7766822 atau tablet DCC 04-3656822. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram