IBU kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di sebuah kolam di Bandar Baru Sri Klebang, Ipoh, Perak mendakwa pihak pengurusan tadika tersebut bersikap cuai.
D. Nilaveni, 40, berkata, anak tunggalnya, V. Thanes Nair, meninggal dunia pada Ahad di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRBP) kira-kira pukul 10.35 pagi setelah bertarung nyawa selama beberapa hari sejak dimasukkan ke hospital pada 17 April lalu.
Dia mendakwa pihak pengurusan tadika berkenaan masih tidak mendedahkan sepenuhnya apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian (17 April).
“Saya menghantar anak saya ke tadika pada pukul 9 pagi dan kira-kira pukul 10.45 pagi, saya menerima panggilan daripada guru menyatakan anak saya terjatuh dan menyuruh saya ke Klinik Kesihatan Chemor.
“Apabila saya sampai di klinik, anak saya dalam keadaan kritikal dan tidak memberi sebarang respons.
"Doktor memberitahu anak saya berada di dalam air dalam tempoh yang lama dan mereka terus menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," luahnya dalam nada yang kecewa pada sidang media pada Ahad.
Punca kematiannya dilaporkan sebagai mati lemas.
Nilaveni berkata di hospital, doktor terpaksa melakukan pembedahan otak pada keesokan harinya (18 April) tetapi anaknya tetap tidak sedarkan diri.
“Saya ingin tahu kenapa tiada sesiapa dari tadika menghubungi saya ketika kejadian itu berlaku.
"Mengapa saya hanya menerima panggilan pada pukul 10.45 pagi yang mana kelas pada masa itu sepatutnya diberhentikan," tambahnya.
Jelas Nilaveni lagi, dia tidak mengetahui terdapat kolam renang di premis itu.
"Saya harap pihak polis akan menyiasat kes ini dengan teliti. Saya ingin tahu bagaimana anak saya berakhir di dalam kolam dan bukannya berada di dalam kelas," katanya.
Dia turut mempersoalkan keberadaan guru dan kakitangan tadika tersebut ketika kejadian.
Nilaveni juga berharap sebarang dakwaan kecuaian pihak pengurusan tadika berkenaan harus diteliti.
Sementara itu, polis Ipoh mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan.
Dalam perkembangan lain, pihak pengurusan Kinder Labz mengeluarkan kenyataan bahawa mereka turut berduka dengan kejadian malang yang menimpa budak lelaki berusia empat tahun berkenaan.
Katanya, kejadian itu berlaku di sebuah rumah kelab yang terletak di sebelah Kinder Labz pada 17 April.
“Kami boleh mengesahkan Thanes sedang menghadiri kelas percubaan di sekolah kami apabila tragedi itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi pada hari kejadian.
“Pihak pengurusan dan kakitangan di Kinder Labz bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan memberikan kenyataan serta memberikan semua bukti sedia ada, termasuk rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) kepada pihak berkuasa untuk memudahkan siasatan berhubung perkara itu.
"Kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Thanes, terutamanya ibu bapanya," kata kenyataan itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram