Identiti 2 mayat bertatu dalam timbunan sampah masih misteri, polis Melaka tunggu keputusan cop jari


  • 112
  • Isnin, 10 Jul 2023

Mayat dua lelaki dijumpai di dalam bungkusan kanvas di dalam semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang, Cheng, Melaka pada Isnin. — PDRM

DUA mayat lelaki ditemukan dalam dua bungkusan kanvas berdekatan kawasan timbunan sampah di Kampung Ujong Padang, Cheng, Melaka pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat tersebut ditemui oleh seorang pemandu lori kira-kira pukul pukul 9 pagi sebelum melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Katanya, hasil pemeriksaan anggota di lokasi mendapati kedua-dua mayat ditemui dibungkus di dalam kanvas yang diikat menggunakan tali kabel.

"Siasatan awal mendapati, mayat pertama dijumpai lengkap berpakaian, berkemeja-T hitam dan berseluar jean pendek dalam kanvas yang diikat dengan 'cable tie' dan tali.

Manakala, mayat kedua dijumpai dalam kanvas bersebelahan tubuh pertama dan pemeriksaan lanjut mendapati mayat itu tidak berbaju dan hanya berseluar jean pendek," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut Christopher berkata, identiti kedua-dua mayat itu masih belum dikenal pasti dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada keduanya ketika ditemukan.

Jelasnya, berdasarkan keadaan mayat berkenaan, mangsa dipercayai mati dua atau tiga hari lepas di tempat lain sebelum dibuang lokasi kedua-dua mayat itu diketemukan.

"Pemeriksaan lanjut pada tubuh mayat juga terdapat tatu namun ia tidak berapa jelas dan pemeriksaan lanjut masih dilakukan oleh doktor dan diharapkan menerusi kulit jari mereka, kita dapat kenal pasti identiti si mati," katanya.

Tambahnya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan sama ada ia berkait dengan jenayah kongsi gelap.

“Kita juga menemui tatu di anggota badan, namun ia pudar dan siasatan lanjut sedang dilakukan sama ada ia berkaitan dengan kes pembunuhan ini.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dia turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar kerana dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Beliau berkata, sekiranya ada mana-mana pihak mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Muhather Abd Kudus di talian 013-288 4878 atau Bilik Gerakan IPD Melaka Tengah di talian 06-284 1999. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram