[VIDEO] 'Syaitan' di stesen minyak curi kereta ketika pemilik leka isi petrol


  • Tular
  • Rabu, 12 Jul 2023

Tangkap layar kejadian wanita terseret selepas seorang lelaki tidak dikenali melarikan kenderaannya di di Stesen Minyak Petron Semantan, Temerloh, Pahang.

TULAR di media sosial memaparkan kejadian kecurian kereta yang berlaku di Stesen Minyak Petron Semantan, Temerloh, Pahang pada Rabu.

Bagaimanapun, hasil tinjauan Majoriti terhadap rakaman berdurasi 36 saat itu mendapati, video itu adalah kejadian lama, iaitu pada tahun 2020 yang ditularkan semula di laman Twitter.

Video itu memaparkan situasi seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta yang sedang diisi minyak itu dilarikan lelaki tidak dikenali.

Kelihatan lelaki tersebut berlegar-legar di kawasan pam minyak sebelum dengan selambanya memasuki dan melarikan kenderaan berwarna kuning tersebut.

Setelah menyedari keretanya dipandu oleh individu tidak dikenali, wanita berkenaan berusaha untuk mengejarnya dengan berpaut pada pintu belakang kenderaan tersebut hingga menyebabkan dirinya terseret sejauh beberapa meter.

Namun, memetik laporan media, tidak sampai 12 jam kes itu berlaku, pihak polis berjaya menahan suspek di Subang Jaya, Selangor berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di stesen minyak berkenaan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah lampau telah dibawa ke Ibu Pejabat polis daerah (IPD) Temerloh untuk tindakan lanjut.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 pagi itu, suspek memasuki kereta mangsa yang tidak dimatikan enjin ketika pemandu kereta jenis Toyota Corolla itu mengisi minyak di Stesen Minyak Petron Semantan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram