Kes pecah kereta di Seremban rupanya angkara laki bini warga asing


  • 112
  • Jumaat, 17 Feb 2023

Hasil siasatan mendapati, pasangan itu turut terlibat dalam tujuh kes pecah kereta. — Gambar hiasan/Agensi

POLIS menahan sepasang suami isteri warga Indonesia, dipercayai aktif menjalankan kegiatan pecah cermin kereta dan curi di sekitar Seremban, Negeri Sembilan dan Kajang, Selangor pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 30 tahun itu ditahan pukul 1 pagi dalam Op Pecah Kereta di Seremban.

"Hasil siasatan mendapati, pasangan itu turut terlibat dalam tujuh kes pecah kereta. Kedua-dua mereka telah menunjukkan barang-barang yang dicuri di dalam kes yang terlibat, beberapa barang bernilai seperti jam tangan dan komputer riba turut dirampas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek bertindak memecah cermin kereta yang diletakkan di kawasan sunyi dengan menggunakan alatan tajam.

Kedua-dua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hingga 20 Februari ini dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram