Lelaki curi beg di masjid ditahan polis lepas samun pesara kastam di Kota Bharu


  • 112
  • Rabu, 10 Mei 2023

Tangkap layar seorang pencuri lelaki yang dikehendaki polis kerana melarikan beg seorang jemaah di Masjid Muhammad, Kota Bharu, Kelantan sebelum ini.

SEORANG pencuri lelaki yang dikehendaki polis kerana melarikan beg seorang jemaah di Masjid Muhammadi sebelum ini berjaya ditahan selepas menyamun seorang pesara kastam ketika mangsa sedang memancing di Saliran Sungai Budor, Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.

Ketika kejadian pukul 11.40 petang itu, mangsa yang memancing berseorangan tiba-tiba didatangi oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek bertindak menekan kepala mangsa sehingga menyebabkannya jatuh tertiarap.

"Lelaki itu kemudian mengambil barangan mangsa dan melarikan diri bersama kereta Proton Saga milik mangsa," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, mangsa membuat laporan polis pada pukul 2.02 petang.

"Satu jam kemudian, sepasukan polis menahan suspek yang sedang bersembunyi di kawasan semak di Jalan Kampung Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan

"Jarak suspek ditahan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dan polis turut menemui kenderaan serta barangan milik mangsa," katanya.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek berusia 39 tahun dan tidak bekerja positif methamphetamine.

Katanya, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, polis giat mengesan seorang lelaki berumur 30-an yang disyaki mencuri beg di Masjid Muhammadi dan video mengenai kejadian juga tular.

Video berdurasi 14 saat itu menunjukkan suspek memakai seluar hitam, berbaju kemeja putih serta berkopiah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram