POLIS memaklumkan kenderaan yang terbabas dan terbalik di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Kelantan seperti yang tular dalam video pada Isnin merupakan kenderaan curi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pemandu kenderaan tersebut sudah tidak berada di tempat kejadian ketika pihak polis sampai di lokasi.
"Semasa pihak polis sampai ke lokasi, tiada pemandu berada di dalam kenderaan yang terbabas.
"Pemeriksaan dan semakan lanjut terhadap kenderaan tersebut di lokasi kejadian mendapati kenderaan tersebut merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang pada Sabtu malam di Kota Bharu.
"Tiada laporan polis dibuat berkaitan kemalangan," katanya dalam satu kenyataan.
Zaizul memaklumkan kejadian kemalangan itu berlaku pada pagi Ahad.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan tular satu video pada Isnin memaparkan kejadian kemalangan membabitkan sebuah kenderaan yang terbabas sebelum terbalik dipercayai berlaku di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh.
Menerusi rakaman video papan pemuka kenderaan berdurasi 26 saat itu, kenderaan terbabit dilihat hilang kawalan sehingga menyebabkan ia melanggar bahu jalan sebelum terbalik.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram