'Sampai anak tak pergi sekolah', penduduk Petra Jaya kesal YB tak turun padang dengar rintihan rakyat


  • Massa
  • Rabu, 12 Jul 2023

Jalan yang teruk di kawasan Taman Midin, Petra Jaya, Kuching menyukarkan perjalanan murid-murid untuk ke sekolah. — Facebook/Bobalice

"SAYA bukan nak menagih simpati, tapi inilah realiti yang kami hadapi setiap hari".

Demikian antara luahan seorang penduduk tempatan di sekitar Taman Midin, Petra Jaya, Kuching, Sarawak mengenai keadaan jalan di kawasan tersebut yang berada dalam keadaan daif.

Wanita yang dikenali sebagai Nur Sofiliya Abdullah pernah meluahkan mengenai keadaan menyedihkan itu dalam sebuah rancangan televisyen pada April lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini, masalah itu masih belum berjaya diatasi.

Selain masalah jalan, penduduk sekitar turut berdepan dengan isu ketiadaan elektrik sejak lapan tahun lalu.

Penduduk berkongsi keadaan jalan yang agak daif di sekitar Taman Midin, Petra Jaya, Kuching. — Facebook/Bobalice

Menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa, Nur Sofiliya memaklumkan, meskipun sudah berlanjutan sekian lama, masih tiada bantuan daripada pemimpin yang diperuntukkan bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk setempat.

"Sebelum ini saya ada tular dalam televisyen, soalan pertama yang ditanya (ialah) apa bantuan yang YB (Yang Berhormat) beri, saya jawab tidak ada.

"Batang hidung YB pun tidak nampak, dah bertahun-tahun kami bersuara minta bantuan elektrik, kalau tak dapat beri elektrik, sekurang-kurangnya bagilah sumbangan generator.

"Berkenaan jalan raya, kami dah minta batu kerikil supaya jalan tersebut dapat digunakan dalam keadaan yang lancar, tapi tiada sebarang respons daripada pihak berkenaan.

"Saya merayu mana-mana ahli politik yang betul-betul ingin membantu, tolonglah datang dan lihat keadaan kami," katanya.

Hampir setiap hari akan ada kereta yang tersangkut apabila melalui jalan itu. — Facebook/Bobalice

Lebih parah, luahnya, jalan daif tersebut juga menyukarkan perjalanan kanak-kanak di kawasan itu untuk menghadirkan diri ke sekolah.

"Dengan jalan yang licin itu, hari-hari kereta kami tersangkut. Apabila hujan, jalan makin teruk sekali gus menyebabkan ada antara anak saya yang tidak dapat pergi ke sekolah.

"Susah sangat ke nak bantu? Mana (slogan) rakyat didahulukan? Bila kena macam ini, tidak ada seorang pun datang menolong.

"Tiada siapa tahu rintihan kami, tidak ada lain yang kami minta, kasihanilah lima orang anak kami yang ingin bersekolah. Saya dah penat menyuarakan pendapat, tolong mana-mana ahli politik turun padang dan lihat sendiri keadaan kami," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram