[VIDEO] 'Diam diam buat kerja', taktik licik penunggang motor pancitkan tayar kereta guna selipar berpaku


  • Benua
  • Ahad, 25 Jun 2023

Tangkap layar video tular kegiatan penunggang motosikal tersebut yang dipercayai secara sengaja merosakkan tayar kenderaan pengguna jalan raya lain. — Agensi

TAKTIK licik seorang penunggang motosikal yang secara sengaja memancitkan tayar kereta pengguna jalan raya lain terbongkar selepas perbuatannya itu dirakam dan tular di sosial media sejak Khamis lalu.

Menerusi klip berdurasi 25 saat itu, pelaku tersebut dilihat berada betul-betul di sebelah sebuah kereta sebelum meletakkan seliparnya yang dipercayai berpaku di tayar belakang kenderaan tersebut.

Berdasarkan kepada nombor plat motosikal berkenaan, kejadian itu dipercayai berlaku Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.

Difahamkan, perbuatan itu dilakukan bertujuan bagi merosakkan tayar kereta tersebut tanpa disedari pemandu.

"Berhati-hati dan berwaspada jika tayar kereta tiba-tiba bocor!! Ini merupakan aksi seorang lelaki menggunakan paku daripada selipar dan cuba merosakkan tayar kereta.

"Apabila tayar rosak dan kereta berhenti, pelaku dikhuatiri akan segera melaksanakan perbuatan jahatnya," tulis ciapan video tular tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Surabaya, Haryoko Widhi ketika dihubungi Kompas.com berkata, pihaknya masih belum mendapatkan sebarang laporan berkenaan insiden tersebut.

Namun begitu, beliau berkata, mangsa berkemungkinan tidak membuat laporan polis kerana berasakan tayar keretanya bocor akibat perkara yang tidak disengajakan.

"Walaupun tidak dilaporkan kepada polis, pihak berkuasa tetap menjalankan pemantauan untuk mencari pelaku," katanya.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram