[VIDEO] Penjenayah berlagak berani, siap lambai CCTV sebelum rosakkan 2 mesin ATM di Sarawak


  • 112
  • Selasa, 11 Jul 2023

Tangkap layar seorang penjenayah sempat melambai tangan ke arah kamera CCTV sebuah premis bank dekat Limbong, Sarawak pada Sabtu malam.

SEORANG lelaki ditahan polis susulan perbuatannya yang didakwa memecahkan dua mesin skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di dua buah bank dekat Limbang, Sarawak pada Sabtu.

Sempat melambai tangan ke arah kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan, suspek dilihat turut membawa sejenis peralatan tajam bersamanya.

Rakaman berdurasi lapan saat itu kian tular dan hangat diperkatakan di laman Facebook.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot berkata, suspek tempatan berusia 42 tahun itu ditahan pada Isnin kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

"Dengan tertangkapnya suspek, polis Limbang berjaya menyelesaikan empat kes melibatkan satu kes pecah skrin mesin ATM yang dilaporkan pada 3 Jun lepas, satu kes pecah cermin kenderaan pada 9 Julai lepas dan dua kes pecah skrin ATM pada Ahad lepas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, polis telah menerima dua laporan polis mengenai kes memecahkan skrin ATM tersebut pada Ahad.

Parum berkata, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat yang mana jika didapati bersalah, boleh dihukum penjara selama tempoh yang tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

"Siasatan akan diteruskan dan pihak polis akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum suspek dibawa ke mahkamah," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada masyarakat tempatan di Limbang kerana bekerjasama dalam menyalurkan maklumat dan membantu siasatan polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram