SEORANG bayi perempuan berusia setahun lima bulan maut selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda dipercayai dipandu sepupunya di rumah mereka di Kampung Darat Kolam, Kerteh, Kemaman, Terengganu, Sabtu malam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa, Syaza Syazwina Zahra Mohd Sazali mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
"Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.30 malam (Sabtu). Siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipandu sepupu mangsa yang berusia 19 tahun.
"Kenderaan itu diparkir di hadapan rumah tersebut dan pemandu dikatakan sedang mengundur kenderaan untuk ke rumah bapa mentuanya di Rasau, Dungun," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Hanyan berkata, dalam kejadian berkenaan, mangsa yang tinggal di rumah bersebelahan telah keluar tanpa pengetahuan ibunya dan berada di belakang kenderaan itu ketika ia sedang mengundur.
"Mangsa telah terkena tayar sebelah kiri kenderaan itu dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram