[VIDEO] Hanyut hingga Kg Sungai Limau, bomba ambil masa sejam selamatkan bayi lemas terlepas daripada pegangan bapa


  • 112
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Bayi malang itu terlepas daripada pegangan bapanya dalam kejadian ketika berkayak pada pukul 11.50 pagi Sabtu.

BAYI lelaki malang berusia setahun tujuh bulan yang ditemukan lemas di Sungai Ketil, Lubuk Pedati, Baling, Kedah dipercayai menaiki kayak bersama bapanya sebelum terlepas daripada pegangan lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, bapa mangsa berusia 30 tahun dipercayai tergelincir sebelum bayi dikenali sebagai Adryan Mikhael Muhammad Afiq itu terlepas daripada pegangannya dalam kejadian 11.50 pagi Sabtu.

Menurut Shamsudin, bayi berkenaan kemudian dihanyutkan air sehingga ke Kampung Sungai Limau.

"Ketika kejadian, ibu mangsa bersama ahli keluarga dan rakan turut berada di tempat kejadian.

"Kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12 tengah hari sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Baling serta anggota Balai Polis Baling," katanya dalam kenyataannya pada Sabtu.

Shamsudin berkata, mayat bayi berkenaan ditemukan pada 12.45 tengah hari dengan bantuan orang awam dan penduduk kampung di Kampung Sungai Limau.

Jelasnya, mayat Adryan Mikhael dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram