Bayi lapan bulan antara empat sekeluarga maut, 2 parah dalam nahas libatkan treler di Kulim


  • 112
  • Selasa, 27 Jun 2023

Empat sekeluarga maut manakala dua mangsa cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan treler di Kulim, Kedah. — Facebook/Fazly Raimy

SEORANG bayi perempuan dalam lingkungan usia lapan bulan antara empat mangsa yang maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan lori di Jalan Kulim Baling, Padang Meha, Kulim, Kedah pada petang Selasa.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan terbabit pada pukul 4.06 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya ketika tiba di lokasi kejadian, terdapat enam mangsa dalam kereta terbabit yang mana empat daripadanya dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mangsa yang meninggal adalah seorang lelaki berusia 32 tahun, dua wanita berusia kira-kira 30 tahun dan 59 tahun serta seorang bayi perempuan.

"Manakala dua lagi mangsa iaitu kanak-kanak berusia dalam lingkungan dua dan enam tahun didapati cedera parah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Abdul Rahim memaklumkan kesemua mereka tersepit dalam kenderaan terbabit berdasarkan maklumat yang diterima di lokasi kejadian.

Bagaimanapun katanya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota dengan peralatan khas.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim dengan bantuan ambulans KKM manakala empat yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram