PENDUDUK kawasan perumahan di Klang, Selangor, mula rimas dan geram dengan lambakan haiwan anjing liar yang dikatakan semakin bertambah hari demi hari.
Jika sebelum ini, isu tersebut dilihat lebih tertumpu di taman rekreasi dan padang permainan, kini kawasan perumahan juga telah menjadi salah satu lokasi baharu bagi hidupan berkenaan yang mula menceroboh masuk ke dalam rumah penduduk awam.
Tinjauan Majoriti di sekitar kawasan penduduk dekat Taman Sri Andalas, Klang, mendapati isu terbabit kian meruncing kebelakangan ini.
Salah seorang penduduk di kawasan itu menjelaskan, rumahnya pernah dimasuki dua ekor anjing liar yang menceroboh ke ruang dapur.
"Rumah saya pernah diceroboh anjing liar, sampai ke dapur dia masuk dan berak di lantai, yang peliknya pintu pagar luar bertutup.
"Maknanya dia mungkin melompat masuk dari rumah sebelah dan kebetulan pintu dalam tidak ditutup rapat, habis semua barang rumah kena cuci dan ada yang terpaksa buang sebab anjing itu berbau.
"Saya anggap ini bukan perkara kecil, pihak berkuasa perlu jalankan tanggungjawab tangkap haiwan liar ini, sini kebanyakannya kawasan penduduk Melayu jadi maklum sahaja la hukum halal haramnya," katanya kepada Majoriti.
Anjing liar menghampiri kawasan rumah penduduk di Klang, Selangor.
Sementara itu, Amir Hariz Zainol, 33, yang juga penduduk di kawasan itu turut meluahkan kemarahannya berkenaan isu terbabit.
Menurutnya, haiwan itu kerap membuat bunyi bising terutamanya di waktu malam yang secara tidak langsung mengganggu ketenteramannya.
"Anjing di sini terlampau banyak, waktu malam memang bising sangat sampai anak-anak saya susah nak tidur.
"Keluarga yang ada bayi di rumah memang akan terkesan dengan isu ini, anjing bergaduh terlampau bising, budak kalau dah terjaga memang susah nak tidur balik," jelasnya.
Mengharapkan pihak berwajib segera menjalankan operasi menangkap haiwan liar itu, rata-ratanya sudah tidak tahan dengan masalah terbabit yang semakin mencemari kawasan setempat khususnya di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor.
Dengan keselamatan penduduk di kawasan itu yang turut terancam dengan haiwan berkenaan, perkara itu diharapkan mampu diatasi segera oleh pihak berwajib selepas beberapa laporan dibuat sebelum ini difahamkan masih belum mendapat sebarang tindakan daripada pihak terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram