Muntah atas sofa, lelaki belasah anak teman wanita sampai mati di Cheng


Seorang lelaki didakwa membunuh anak teman wanitanya di Cheng.

SEORANG lelaki didakwa membunuh anak teman wanitanya yang berusia tiga tahun kerana telah mengotorkan sofa di kediamannya dekat Cheng, Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, wanita berusia 24 tahun dan teman lelakinya berusia 31 tahun itu ditahan pada Jumaat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Beliau berkata, perintah tahanan reman selama seminggu terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, Melaka pada 8.30 pagi Jumaat.

Christopher Patit berkata, wanita itu yang merupakan ibu kandung mangsa telah menghantar anaknya ke rumah teman lelakinya pada pukul 5.30 pagi Khamis.

“Kanak-kanak itu tidak sihat dan suspek lelaki sepatutnya membawanya ke klinik,” katanya.

Jelasnya, kira-kira 40 minit kemudian, suspek lelaki menghubungi wanita itu dan memberitahu kanak-kanak tersebut tidak sedarkan diri selepas dia terjatuh secara tiba-tiba dari tangga sebelum pasangan itu bergegas membawa mangsa ke hospital.

“Pegawai perubatan di Hospital Melaka mendapati kanak-kanak itu dalam keadaan serius dan cuba menyelamatkannya.

"Kanak-kanak itu meninggal dunia akibat kecederaan pada pukul 9.15 pagi Khamis," katanya.

Laporan bedah siasat menunjukkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dipukul dan ditendang.

Beliau berkata, polis menahan kedua-dua pasangan itu di hospital berikutan hasil laporan bedah siasat.

Tambahnya, suspek mengaku telah memukul kanak-kanak itu sehingga maut selepas mangsa muntah di atas sofa kegemarannya semasa siasatan awal. — The Star/ RSN Murali

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram