[VIDEO] Belum PRN bermula, bulan sabit 'tumbang' awal di Terengganu angkara lelaki berbaju putih


  • Tular
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Tangkap layar seorang lelaki bertindak mematahkan bendera bulan sabit di sebuah laluan jalan raya dekat Kuala Terengganu, Terengganu.

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, beberapa kawasan di enam negeri terlibat iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu sudah mula dipenuhi dengan bendera parti yang tampil dengan rancangan dan manifesto tersendiri untuk memenangi hati rakyat.

Namun, tidak kurang juga ada yang menggunakan taktik kotor dan cuba menjatuhkan parti tertentu dengan pelbagai cara serta tindakan yang tidak munasabah.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi rakaman tular di Twitter, memaparkan kelakuan seorang lelaki yang menurunkan serta mematahkan bendera Pakatan Harapan (PH) di Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat.

Bergerak melintasi bahu jalan di laluan tersebut, pemuda berkaca mata dan berbaju putih itu mematahkan tiang sebelum mencampakkan bendera parti berkenaan tanpa dihentikan sesiapa.

Selesai menjatuhkan bendera tersebut, si pelaku kemudiannya tampil bersorak sebagai tanda gembira atas kelakuannya.

Ada pihak mendakwa bahawa lelaki berkenaan merupakan orang kurang siuman namun perkara itu masih belum dapat dipastikan.

"Macam ada masalah mental, siang hari buat kerja macam itu mesti la semua orang nampak," kata Irsyad Ramli.

"Belum mula lagi PRN dah ada yang buat perangai, tunjuk sokongan melampau terhadap parti masing-masing," ujar Iqbal Marzuki.

"Tanpa segan silu patahkan bendera parti waktu siang, kalau nak kata diupah pun takkan la berani buat secara terbuka, siap bersorak lagi," tambah Faris Uzair.

Belum ada kenyataan polis berhubung insiden itu setakat ini dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram