[VIDEO] Hilang ketika memburu, budak 11 tahun ditemukan kurus, dahaga air lepas 2 minggu lesap di hutan Tawau


  • 112
  • Jumaat, 07 Jul 2023

Tangkap layar seorang kanak-kanak ditemui selepas dua minggu menghilangkan diri ketika keluar memburu di hutan Tawau.

DUA individu yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika memburu di hutan dekat daerah Pantai Timur Tawau, Sabah berjaya ditemukan pada Jumaat.

Iwan Musakir, 33, dan anak saudaranya, Al Fajri Anto, 11, telah hilang selama dua minggu sebelum mereka berjaya ditemui oleh sekumpulan lelaki yang turut dianggotai penduduk kampung pada pukul 9 pagi Jumaat.

Mereka terdiri daripada lapan orang yang memburu di kawasan hutan berhampiran ladang Usahawan Borneo Burmas, Tawau pada 24 Jun lalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, mangsa kelihatan lemah ketika ditemui namun kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Mereka kemudiannya dibawa ke dewan pusat kawalan operasi bencana daerah (PKOB) untuk bertemu ahli keluarga,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.

Bomba menjalankan pemeriksaan terhadap kedua-duanya dan mendapati mereka berada dalam keadaan baik, namun akan memberikan butiran lanjut mengenai kejadian itu dalam masa terdekat.

Difahamkan, Iwan dan Al Fajri terpisah selepas mereka berpecah kepada kumpulan kecil untuk memburu di hutan.

Mereka bagaimanapun telah merancang untuk bertemu semula pada petang hari yang sama namun kelibat mereka gagal ditemui oleh anggota kumpulan yang lain.

Anggota pencarian yang terlibat dalam operasi itu sebelum ini berkata, mereka menghadapi kesukaran untuk menjejaki mangsa kerana hutan itu tebal.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa, rakan mangsa telah cuba mencari mereka tetapi gagal mengesan kedua-duanya.

Panggilan bantuan diterima oleh jabatan tersebut pada 29 Jun dan operasi mencari dilakukan selepas itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram