SEBUAH video tular sejak Jumaat memaparkan penunggang lelaki bertindak di luar kawalan terhadap seorang pemandu wanita.
Dalam video berdurasi satu minit 19 saat itu memaparkan pemuda berkenaan beberapa kali menghentak cermin kereta tersebut menggunakan topi keledar sambil melemparkan kata-kata kesat ketika kejadian.
Cemas dengan serangan terbabit, si pemandu wanita terbabit kemudiannya memohon maaf atas kesalahannya sambil turut membuat panggilan telefon untuk mendapatkan bantuan.
Enggan mempedulikan permohonan maaf wanita berkenaan, si pelaku terus menghentak cermin hadapan kereta terbabit berulang kali sambil disaksikan seorang orang awam di tempat kejadian.
Turut membuat panggilan polis, insiden itu dirakamkan oleh seorang lagi wanita yang berada di bahagian kerusi penumpang.
Namun, berdasarkan pemerhatian Majoriti, rakaman itu merupakan insiden lama yang telah berlaku pada 2021 dan tular semula hasil perkongsian ramai sejak Jumaat.
Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden terbabit dan suspek juga dilaporkan sudah ditahan polis.
Terdahulu, Majoriti melaporkan tindakan seorang lelaki biadab yang menunjal kepala pemandu wanita sewaktu menuruni Cameron Highlands, Pahang di Jalan Tapah – Cameron Highlands pada 6 Jun lalu.
Suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai penyelia kilang itu diberkas di Serdang, Selangor dan disiasat di bawah Seksyen 325/506/509 Kanun Keseksaan susulan laporan polis dibuat wanita berusia 24 tahun berkenaan di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram