Hadi Awang masuk hospital, anak mohon doakan kembali sihat


  • Primer
  • Sabtu, 01 Jul 2023

Kesihatan Abdul Hadi Awang dikatakan semakin merosot sejak sebelum Aidiladha.

TAHAP kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan merosot dan kini sedang dirawat di hospital.

Perkara itu dimaklumkan anak beliau Muhammad Khalil Abdul Hadi, menerusi hantaran di laman Facebooknya pada pagi Sabtu.

"Mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan Ayahanda Tuan Guru. Kesihatan ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha dan kini menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital,” katanya.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata, Abdul Hadi sememangnya dalam keadaan uzur, sewaktu hadir ke pelancaran jentera pilihan raya Pemuda PAS Terengganu di Marang pada 27 Jun lalu.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Marang itu tetap menggagahkan dirinya untuk hadir.

"Semoga ALLAH mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan lokasi hospital Abdul Hadi dirawat, namun beliau sebelum ini beberapa kali dimasukkan ke Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur untuk menerima rawatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram