ISU 'doktor kontrak' sebelum ini hangat diperkatakan susulan pekerjaan itu dikatakan tidak memberi sebarang jaminan buat golongan yang bekerja di bawah sektor tersebut.
Kerap terpalit dengan status kontrak yang mengambil tempoh masa lama untuk diserap ke jawatan tetap, segelintir pihak yang terkesan mula mengambil langkah untuk berkhidmat di luar negara selepas perkara itu semakin berlarutan.
Namun, rintihan doktor dan petugas kesihatan di negara ini mula mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikhabarkan sudah mengambil beberapa langkah berhubung isu terbabit.
Terbaharu, KKM dilaporkan sudah menyerap sebanyak 4,914 petugas kontrak ke jawatan tetap yang menyaksikan 4,263 daripadanya terdiri daripada pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.
Laporan KKM berhubung pegawai kesihatan yang sudah mula mendapat jawatan tetap di sektor terbabit. — KKM
Proses baik pulih isu terbabit difahamkan sudah mula dilakukan di kawasan semenanjung Malaysia yang menyaksikan hampir kesemua jawatan tetap sudah diisi dengan beberapa lagi kekosongan di Sabah dan Sarawak akan ditawarkan kepada calon simpanan.
Situasi itu dilihat sebagai perkembangan positif bagi masyarakat Malaysia yang sebelum ini kerap disajikan dengan isu berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Dalam pada itu, laporan terbabit sekali gus membuktikan betapa kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup komited dalam melaksnakan tanggungjawab sebagai pemerintah di neara ini.
Secara terperincinya, rakyat melihat Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sebagai individu yang paling banyak menyumbang dalam hal tersebut dengan peranannya sebagai menteri mula melihatkan kesan positif bagi isu berkenaan.
Tidak dinafikan, kerajaan Madani juga tidak terlepas daripada beberapa isu lain yang mendapat pelbagai respons dan keluhan rakyat namun, bagi sektor kesihatan negara, masyarakat enggan Zaliha Mustafa digugurkan sekiranya kerajaan bertukar tangan pada satu hari nanti.
Menganggap usaha dilakukan mula menampakkan hasil, salah seorang warganet di Twitter, Muhammad Najib menggesa orang ramai untuk menghargai perubahan dibawakan individu terbabit.
Zaliha Mustafa menerima pujian masyarakat susulan langkah posisitf diambil susulan isu doktor kontrak di negara ini. — Bernama
"Jangan disebabkan dua kementerian ini korang letak sasaran tinggi, kita terus lupakan menteri yang baru berkhidmat tujuh bulan ini.
"Apatah lagi, rakyat mahu Anwar buang empat hingga lima individu yang bekerja di bawahnya sedangkan ada yang betulbetul buat kerja.
"Kalau menteri buat kerja dan bagi impak positif dalam masa singkat, bagi aku menteri itu boleh pergi jauh, sudah-sudahlah desak untuk rombak, bagi masa untuk kerajaan ni stabil," katanya.
Usaha positif dibawakan Zaliha Mustafa juga turut mengundang perbandingan dengan bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dikatakan gagal menyelasaikan isu doktor kontrak ketika mengemudi jawatan itu.
Isu tersebut yang sudah berbangkit sejak sekian lamanya, hanya menyaksikan penambahbaikan sejak tampuk itu diketuai Zaliha Mustafa.
"Adil ke Dr Zaliha dibuang? isu doktor kontrak ini isu besar yang tak pernah selesai selama bertahun-tahun, Khairy Jamaluddin pun tak ada nampak usaha.
"Tapi Zaliha cuba untuk selesaikan walaupun secara berperingkat," jelasnya.
Enggan menyalahkan mana-mana pihak, namun langkah serta usaha KKM di bawah kerajaan Madani ketika ini perlu diteruskan dan diberikan sokongan sepenuhnya dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Dengan penambah baikan tersebut, diharapkan ia mampu menjawab segala spekulasi serta cemuhan rakyat yang sebelum ini kerap menjatuhkan hukuman terhadap KKM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram