[VIDEO] 'Telefon pegawai you sekarang', YB Jelebu 'sound' syarikat kontraktor lewat baiki jalan terima pujian ramai


  • Tular
  • Rabu, 28 Jun 2023

Tangkap layar Ahli Parlimen Jelebu, Jalaluddin Alias memberikan teguran kepada pekerja syarikat kontraktor di jalan utama dekat Felda Pasoh, Jelebu, Negeri Sembilan.

TINDAKAN tegas Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menegur sebuah syarikat kontraktor kerana lewat menjalankan proses baik pulih laluan di Jalan Utama dekat Felda Pasoh, Jelebu, Negeri Sembilan mencuri perhatian ramai.

Mendakwa syarikat itu gagal menyelesaikan kerja tertunggak dan tergendala di kawasan tersebut, beliau menggesa agar pegawai bertanggungjawab segera tampil memberikan penjelasan berhubung hal itu.

Dalam satu rakaman video berdurasi 1 minit 27 saat yang dikongsikan di laman Twitter, memaparkan Ahli Parlimen tersebut sedang memarahi salah seorang wakil pekerja syarikat berkenaan.

Menurutnya, proses pembaikan jalan itu telah terhenti sejak dua bulan lalu dan pihak pengurusan syarikat tersebut juga telah membuat perjanjian berkaitan jangkaan tarikh projek itu boleh disiapkan di pejabatnya sebelum ini.

Enggan berkrompomi dengan sebarang isu kelewatan mahupun alasan daripada pihak kontraktor tersebut, Jalaluddin Alias mahu bersemuka dengan pengurus syarikat berkenaan.

Turut memberikan teguran terhadap pihak terbabit, beliau kemudiannya menjelaskan akan memanggil penduduk kampung untuk menutup lubang dan kerja tergendala di laluan terbabit sekiranya tiada perubahan dalam tempoh masa terdekat.

Dalam pada itu, situasi itu nyata meraih pujian ramai warganet di Twitter yang berpuas hati dengan ketegasan dipamerkan Ahli Parlimen Jelebu itu.

"Sejak aku duduk Jelebu, YB Jalal memang selalu muncul dalam mana-mana program kawasan di Felda, bab peruntukan itu tak payah nak sembang. Bayangkan setiap kelas tingkatan lima di sekolah Jelebu ada televisyen pintar sebab nak majukan pendidikan," kata The Teh Original.

"Memang sejak awal bulan Januari jalan itu masih tidak diperbaiki, harap ada perubahan kita tengok 3 Julai nanti macam mana," ujar Eden Sofea.

"Kalau semua YB pantau zon mereka macam ini kan bagus, rata semua laluan di seluruh negara," ujar Tarento Machianto.

Dengan teguran diberikan itu, diharapkan pihak kontraktor terbabit segera menyelesaikan kerja yang tertangguh bagi memberikan kemudahan fasiliti terbaik buat penduduk di kawasan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram