[VIDEO] 'Awning', jarak terlalu rapat punca 10 kilang terbakar di Balakong


  • 112
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran di salah satu kilang di Taman Perindustrian Balakong yang terbakar awal pagi Jumaat. — Facebook/Bomba

SEPULUH buah kilang dilaporkan terbakar pada Jumaat pagi berpunca daripada pengubahsuaian dan penambahan atap tambahan (awning) serta jarak antara kilang yang terlalu rapat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, kilang-kilang tersebut juga difahamkan mempunyai 'fire load' yang tinggi kerana padat dengan bahan yang mudah terbakar.

Operasi memadam kebakaran diketuai oleh Ketua Zon 4 (Hulu Langat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Shahrin Yusmar Mat Yusof.

"Kebakaran yang pada asalnya melibatkan empat buah kilang telah merebak kepada 10 kilang dengan anggaran keluasan keseluruhan 360x300 kaki persegi.

"Post Kawalan Bencana (PKB) telah dibuka pada pukul 3.37 pagi dan kebakaran telah berjaya dikawal sekitar pukul 4.37 pagi," katanya.

Antara kilang yang terbakar di kawasan Jalan KPB 3, Kawasan Perindustrian Kampung Balakong, Selangor termasuk kilang simpanan barang acara dengan kemusnahan 100 peratus, kilang barang plastik billboard (100 peratus), kilang model rumah (100 peratus) dan kilang tembakau (100 peratus).

Kebakaran tersebut berjaya dikawal kira-kira pukul 4.37 pagi. — Facebook/Bomba

Manakala antara kilang yang terbakar di kawasan Jalan KPB 4 pula melibatkan kilang audio kereta (100 peratus), kilang makanan kucing (100 peratus), kilang kabinet perabot (100 peratus dan kilang audio kereta (20 peratus).

Pasukan bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengawal api kebakaran daripada terus merebak dan kerja-kerja memadam sisa kebakaran masih dijalankan di lokasi kejadian ketika ini.

Tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut, sementara pihak bomba masih menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran dan jumlah kerugian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram