[VIDEO] Video tular 2 budak rentung bukan sebab main telefon sambil cas


  • Benua
  • Isnin, 19 Jun 2023

Tangkap layar video lama yang ditularkan semula dengan maklumat salah berkenaan punca kematian dua kanak-kanak di Kota Medan.

TULAR di aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu sebuah video memaparkan dua orang kanak-kanak meninggal dunia di sebuah daerah di Jakarta Barat, Indonesia selepas didakwa tercedera akibat letupan daripada telefon pintar yang sedang dicas.

Menerusi klip berdurasi 30 saat itu, beberapa individu dilihat sedang membawa mayat kanak-kanak yang rentung kerana dipercayai menggunakan telefon pintar yang sedang dicas itu hingga menyebabkan alat tersebut meletup.

Namun begitu, rakaman tular tersebut sebenarnya merupakan klip lama yang ditularkan semula dan turut mengandungi maklumat salah berkenaan kejadian terbabit.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan insiden itu berlaku pada 3 Mei lalu di Kampung Bandar Sitirejo III, Daerah Medan Amplas, Kota Medan dan bukannya di Jawa Barat, Indonesia seperti yang didakwa dalam video tular berkenaan.

Jelas laporan tersebut, punca kejadian terbabit juga bukanlah seperti didakwa kerana kedua-dua kanak-kanak terbabit yang masing-masing berusia tiga dan empat tahun itu maut akibat bermain pemetik api gas.

"Mangsa terperangkap dalam bilik, pintu berkunci kerana ibu bapa mangsa sedang berjualan pasar," menurut laporan yang memetik kenyataan daripada Ketua Kampung Bandar Sitirejo III yang dikenali sebagai Ari.

Katanya, pintu rumah mangsa juga dikunci dari luar sehingga menyebabkan kedua-dua kanak-kanak malang itu terkurung di dalam bilik ketika kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram