Masih banyak sekolah daif, KPM kurang realistik letak sasaran capai Dasar Pendidikan Digital


  • Massa
  • Isnin, 26 Jun 2023

Dasar Pendidikan Digital akan melengkapkan keseluruhan ekosistem pendidikan khususnya pendidikan digital negara. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sebelum ini memaklumkan, Dasar Pendidikan Digital yang akan menjadi elemen penting dalam pengajaran dan pembelajaran murid di negara ini sedang dalam peringkat akhir sebelum dimuktamadkan.

Menterinya, Fadhlina Sidek percaya dasar itu nanti akan melengkapkan keseluruhan ekosistem pendidikan khususnya pendidikan digital negara.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berpandangan bahawa infrastruktur sekolah di Malaysia masih lagi jauh ketinggalan.

Dengan 830 sekolah daif yang direkodkan di Malaysia ketika ini, beliau mengakui ia akan menjadi satu cabaran yang besar buat kementerian untuk mencapai Dasar Pendidikan Digital Negara dalam tempoh yang ditetapkan.

"Sekarang ni KPM nak promosikan dasar digital pendidikan, tapi kita tahu bahawa (infrastruktur) sekolah kita ni jauh daripada itu lagi.

"Memang kalau di sekolah bandar seperti di Putrajaya mungkinlah. Tapi kalau masuk di sekolah kampung atau pedalaman, kita rasa sedih sebab jauh sangat daripada apa yang dibayangkan.

"Kita ada 10,222 buah sekolah di bawah KPM di seluruh negara. Dua pertiga daripada sekolah itu berada di luar bandar dan sebahagiannya adalah sekolah daif," katanya menerusi satu program temu bual yang disiarkan di portal berita, TV Pertiwi baru-baru ini.

Anuar ketika ditemu bual dalam satu program temu bual yang disiarkan di TV Pertiwi baru-baru ini. — TV Pertiwi

Menurutnya, berdasarkan data, terdapat 830 buah sekolah yang dikategorikan sebagai daif iaitu berskala 5, 6 dan 7.

Jelasnya, ia bermakna sekolah yang berada di bawah kategori tersebut mempunyai masalah yang sangat serius seperti isu pendawaian, selain bumbung dan siling pecah.

"Manakala bagi kategori 1, 2, 3 dan 4 pula, sekolah tersebut masih boleh digunakan tapi (mengalami masalah seperti) tandas dan tingkap pecah. Ia masih boleh digunakan tapi tak cantik," ujarnya.

Namun beliau bersyukur apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak menekankan tentang isu sekolah daif dalam pembentangan Belanjawan 2023.

"Itu antara kebaikan yang beliau lakukan untuk sistem pendidikan sebab isu sekolah daif akan menjadi barah kepada anak-anak.

"Dahlah duduk kampung, tak banyak pendedahan (teknologi), kemudian sekolah daif, guru pula biasanya yang mengajar di kampung bukan guru pakar, sekolah pedalaman memang biasa dapat guru baru posting.

"Jadi bila PM (Perdana Menteri) kata nak selesaikan isu sekolah daif, saya rasa itu satu tindakan yang baik untuk bantu anak-anak di kawasan luar bandar," ujar Anuar lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram