Tak perlu tangguh sesi sekolah akibat cuaca panas tapi benarkan pakaian sesuai


  • Massa
  • Ahad, 30 Apr 2023

Penangguhan atau lanjutkan cuti persekolahan hanya akan menjejaskan proses pembelajaran pelajar di sekolah.

TINDAKAN penangguhan pembukakan sekolah atau lanjutkan cuti susulan keadaan cuaca panas di negara ini disifatkan tidak perlu.

Perkara itu disuarakan oleh Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad.

Malah, beliau sebaliknya mencadangkan agar pelajar diberi kelonggaran untuk memakai baju-T sukan yang bersesuaian ketika mengikut sesi pembelajaran.

Menurutnya, penangguhan atau lanjutan cuti hanya akan merencatkan proses pembelajaran yang akhirnya mengakibatkan sukatan pelajaran tidak sempat dihabiskan.

ezgif-4-065e0c6aa3

Pakaian unifom sekolah dengan tali leher pada waktu panas hanya akan menyebabkan pelajar berasa tidak selesa. — Bernama

"Dicadangkan pelajar dibenarkan untuk memakai pakaian yang lebih selesa seperti baju-T sepenuhnya bagi meningkatkan keselesaan mereka untuk menyerap peluh, sehingga keadaan kembali pulih," katanya.

Tambah Anuar, pemakaian tali leher dan pakaian seragam sekolah bukan sahaja merimaskan bahkan tidak sesuai pada ketika ini.

Ujarnya, banyak usaha boleh dilakukan pihak sekolah selain menangguhkan persekolahan atau melanjutkan cuti.

"Kebanyakan guru juga bimbang sekiranya cuti dilanjutkan atau sekolah ditangguh banyak perancangan pembelajaran terganggu," katanya.

61672381697_DrAnuarAhmad

Anuar Ahmad

Selain itu, Anuar turut mencadangkan agar semua aktiviti kokurikulum dibatalkan buat sementara bagi mengelakkan pelajar terdedah kepada pancaran cahaya matahari terik untuk jangka masa yang panjang.

Sebelum ini, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan dilapor meminta cuti sekolah di negeri utara dan Pantai Timur, perlu dilanjutkan ekoran cuaca panas, sehingga keadaan kembali normal.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) mungkin boleh melanjutkan cuti persekolahan di negeri atau kawasan yang dikenal pasti mempunyai suhu panas kritikal. — Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram