RAMAI ibu bapa muda pada hari ini lebih memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah swasta atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berbanding sekolah kebangsaan.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, terlalu banyak sistem birokrasi yang menjadi amalan di kebanyakan sekolah kebangsaan menjadi antara faktor penyumbang kepada perkara tersebut.
Menurut beliau, sedangkan di sekolah swasta, mereka lebih menfokuskan pada pencapaian dan pembelajaran pelajar itu sendiri.
"Itulah realitinya, ramai ibu bapa muda yang rasa jika mereka ada duit lebih, (ada segelintir yang) walaupun tidak ada (duit) lebih, mereka akan usahakan untuk hantar anak ke sekolah swasta kerana sekolah tersebut kurangkan birokrasi.
"Kawan-kawan saya ramai juga yang mengajar di sekolah swasta, bila kita berbual, mereka kata sekolah ini tidak ada birokrasi.
"Tugas mereka pergi sekolah dan mengajar bersama murid, tidak ada program yang macam-macam. Jadi, fokus mereka jelas dengan pelajar sahaja.
"Kita bukan nak promote sekolah swasta, tapi kita melihat pada perkembangan, anak-anak sekolah swasta lebih gembira, seronok pergi sekolah, berkawan dan guru-guru pun mesra," katanya menerusi satu program temu bual yang disiarkan di portal berita, TV Pertiwi pada Khamis.
Tangkap layar Anuar ketika ditemu bual dalam satu program temu bual yang disiarkan di portal berita, TV Pertiwi pada Khamis. — TV Pertiwi
Tambahnya lagi, sekolah kebangsaan mempunyai terlalu banyak program yang akhirnya akan menjejaskan tempoh waktu pembelajaran di sekolah.
"Saya mengajar di sekolah Cina dan saya melihat dari segi birokrasi juga tak banyak, program yang diadakan juga kurang.
"Sekolah kebangsaan terlalu banyak program. Kita ada 190 hari setahun untuk sekolah, sebahagian hari ada pelbagai program, tak termasuk lawatan daripada pihak atasan.
"Mereka datang pun kena buat program juga. Di sekolah Cina, kalau menteri datang pun kelas berjalan seperti biasa, waktu pembelajaran tidak boleh dibatalkan," katanya.
Dalam pada itu, Anuar turut memberitahu, data menunjukkan sekitar 21 peratus pelajar bukan berbangsa Cina yang telah mendaftar di SJKC, yang mana majoritinya adalah pelajar berbangsa Melayu.
Jelasnya, trend tersebut dilihat telah meningkat berbanding 10 tahun dahulu.
"Maksudnya, sejak akhir-akhir ini lebih ramai ibu bapa khususnya dalam kalangan Melayu, bumiputera, Sabah dan Sarawak yang menghantar anak mereka ke sekolah Cina.
"Malah, ada sesetengah SJKC yang mempunyai bilangan murid Melayu lebih ramai berbanding kaum Cina. Hampir keseluruhan SJKC ada pelajar Melayu tetapi cikgunya semua berbangsa Cina.
"Fenomena ini menarik, maknanya ibu bapa Melayu pragmatik dan dinamik. Mereka melihat di mana kelebihan dan kebaikan untuk anak. Bagi saya, itu satu pilihan yang bijak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram