Beri alasan swafoto, lelaki tarik dan cium tangan artis kena tahan di Dataran Nilai


  • 112
  • Isnin, 26 Jun 2023

Penyanyi Ara Johari dicabul seorang lelaki dalam satu program hiburan di sebuah festival yang berlangsung di Nilai. — Instagram/AraJohari

SEORANG penyanyi wanita berusia 26 tahun dilaporkan mengalami serangan seksual selepas membuat persembahan nyanyian di Dataran Nilai, Negeri Sembilan pada Ahad.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan menerima aduan daripada mangsa kira-kira pukul 12.01 pagi ketika dia difahamkan selesai membuat persembahan nyanyian untuk satu program hiburan dalam sebuah festival yang berlangsung di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, pengadu dilaporkan terlebih dahulu didatangi oleh seorang lelaki yang meminta kebenaran untuk berswafoto dengannya.

Setelah selesai swafoto, lelaki tersebut telah menarik serta menggenggam tangan dan seterusnya mencium tangan penyanyi terbabit.

Terkejut dengan tindakan itu, pengadu kemudiannya terus menjerit sekali gus memaksa lelaki berkenaan melarikan diri dari tempat kejadian.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap oleh pihak penganjur dan telah diserahkan kepada anggota polis yang bertugas di festival berkenaan.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan yang tidak mempunyai rekod jenayah dan permohonan reman ke atas suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan dan telah diluluskan selama tiga hari bermula 26 Jun hingga 28 Jun 2023.

Dalam pada itu, mangsa yang dikenali sebagai Ara Johari, memuat naik penjelasan berhubung insiden berkenaan di laman Instagram peribadinya pada Isnin.

ara 1

ara

Perkongsian Ara Johari di laman Instagram peribadinya. — Instagram/AraJohari

Pelantun suara lagu 'Warkah Untukku' itu menjelaskan bahawa tangannya digenggam dan ditarik individu terbabit ketika bersalaman dan terus dicium sebanyak dua kali ketika kejadian.

"Dia cium tangan I dua kali. Bukan cium biasa tau. Memang cium bersungguh betul! I cuba nak tarik tangan pun tak boleh sebab dia dah pegang tangan kuat gila," katanya.

Ara Johari berterima kasih kepada orang ramai yang berada di lokasi kejadian kerana membantunya ketika dia menjerit meminta tolong.

Kes terbabit dilaporkan sudah pun selesai dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram