[VIDEO] Nak elak budak baju hijau punya pasal, Saga Aeroback 'cium' bontot Preve di Changlun


  • Tular
  • Ahad, 25 Jun 2023

Tangkap layar rakaman Proton Saga Aeroback dan Proton Preve terlibat dengan kemalangan gara-gara mengelak seorang kanak-kanak yang tiba-tiba berlari ke arah lebuh raya di Changlun, Kedah.

MALANG tidak berbau, meskipun sudah memandu secara berhemat, namun nahas boleh sahaja berlaku atas sebab kecuaian pihak lain.

Begitu yang berlaku kepada kenderaan jenis Proton Saga Aeroback dan Proton Preve yang terlibat dengan kemalangan ketika melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) AH2 E1 arah Selatan.

Rakaman kejadian yang dipercayai berlaku di Changlun, Kedah itu dimuat naik di laman sosial pada Ahad.

Video berdurasi sembilan saat itu menunjukkan kedua-dua pemandu pada mulanya dilihat memandu secara normal dan mematuhi peraturan jalan raya.

Namun tidak lama kemudian, pemandu Preve tersebut dilihat brek mengejut dan cuba bertukar lorong bagi mengelak daripada melanggar seorang kanak-kanak berbaju hijau yang tiba-tiba berlari ke arah jalan tersebut.

Daripada rakaman itu juga, seorang wanita dipercayai penjaga kepada budak berkenaan berlari-lari untuk mendapatkannya.

Bagaimanapun, pemandu Saga Aeroback yang berada di belakang Preve tersebut dipercayai tidak sempat untuk membrek kenderaannya, lalu melanggar kereta terbabit daripada belakang.

Pelanggaran itu menyebabkan Proton Saga itu mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

Namun difahamkan budak kecil itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram