[VIDEO] Penunggang motosikal, budak 3 tahun temui ajal selepas nahas bertembung dalam hujan di Bukit Tangga


  • Tular
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Bukit Tangga, Jelebu, Negeri Sembilan pada malam Khamis dipercayai berlaku ketika hujan. — Telegram/Info Semasa Official

SEORANG penunggang motosikal dan kanak-kanak berusia tiga tahun maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Bukit Tangga, Jelebu, Negeri Sembilan kira-kira pukul 7.30 malam, Khamis.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin memaklumkan, siasatan awal mendapati kereta Perodua Viva yang dinaiki satu keluarga dari arah Seremban ke Kuala Klawang telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar penunggang motosikal Yamaha Legenda yang datang dari arah Kuala Klawang menghala ke Seremban.

Menurutnya, akibat daripada kemalangan tersebut, salah seorang penumpang kereta iaitu kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan penunggang motosikal, lelaki Melayu berusia 48 tahun telah meninggal dunia semasa menerima rawatan.

"Manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Jelebu untuk menerima rawatan lanjut.

"Bedah siasat akan dijalankan pada Jumaat, sekitar pukul 9 pagi. Kes disiasat dibawa Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Maslan berkata, pihak polis mohon kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat kejadian tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi terus Pegawai Penyiasat Trafik IPD Jelebu Inspektor Nurshazleen Miswan di talian 019-7805252.

Sementara itu, menerusi ruangan komen, warga maya yang dipercayai merupakan penduduk di sekitar lokasi kemalangan mendakwa jalan itu sememangnya bahaya dan banyak kemalangan telah berlaku di kawasan itu.

Keadaan keluarga mangsa selepas terbabit kemalangan dengan motosikal di Bukit Tangga, Jelebu pada Khamis. — Telegram Info Semasa Official

"Jalan hujan licin dengan keadaan jalan Bukit Tangga tu yang hari siang pun bahaya apatah lagi malam. Jalan memang gelap.

"Saya anak jati Seremban dan tahu sangat keadaan jalan tu macam mana, Bukit Putus pun sama," kata Ibu Qistina.

"Bukit Tangga jalan kampung, memang situ kawasan bukit dan gelap. Jalan hala ke Kuala Klawang umpama jalan malam pergi Genting Highland atau Cameron Highland," tulis pengguna Telegram dengan nama meow meow.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram