[VIDEO] Tak sempat elak 'King' keluar simpang punca rider Ducati Panigale maut di Kuantan


  • 112
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu wanita Myvi berkenaan mengalami kecederaan di bahagian rusuk kanan. — Orang Awam

SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas motosikal jenis Ducati Panigale ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran Petronas Sungai Soi, Kuantan, Pahang pada KHamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 9 malam itu berlaku ketika mangsa, Khairul Azhan Mohd Naim,27, dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Pekan.

“Ketika sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal sedang bergerak lurus dan kereta jenis Perodua MyVi keluar dari simpang kiri secara mengejut menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat megelak dan merempuh bahagian pintu kanan hadapan kereta.

"Akibat daripada rempuhan tersebut menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu wanita Myvi berkenaan mengalami kecederaan di bahagian rusuk kanan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera pula dirawat di hospital sama.

"Siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan terdapat simpang tiga dengan sistem jalan dua lorong satu hala.

“Semasa kejadian, permukaan jalan adalah rata dan jalan kering dalam keadaan cuaca baik dengan tahap pencahayaan waktu malam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram