[VIDEO] Polis Australia tumbuk sebelum 'renjat' pemandu mabuk terlibat kemalangan


  • Benua
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Rakaman yang menunjukkan polis menumbuk pemandu mabuk terlibat dalam kemalangan di Brisbane.

SEORANG anggota polis dirakam bertindak ganas apabila menumbuk muka seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan tiga buah kenderaan di Australia pada Khamis.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.45 petang di persimpangan Gympsie dan Samsonvale dekat Brisbane ketika anggota keselamatan itu dikerah bagi membantu mangsa kemalangan.

Bagaimanapun rakaman orang awam menujukkan pegawai terbabit berulang kali menumbuk muka pemandu yang dipercayai mabuk selepas kelihatan seperti botol arak dipegang mangsa.

Dalam rakaman itu pada awalnya kelihatan pemandu berkanaan cuba keluar mengikut tingkap kereta selepas kenderaannya terlibat dalam kemalangan.

Namun apabila dihampiri anggota polis tersebut, pemandu itu melawan apabila botolnya cuba dirampas.

Akibat perbuatannya itu, anggota polis terbabit berulang kali menumbuk mukanya sambil diperhatikan beberapa individu lain di lokasi kejadian.

Saksi yang merakamkan kejadian itu berulang kali menjerit agar polis itu menghentikan perbuatannya.

Sementara itu, Polis Queensland dalam kenyataan berkata, lelaki berkenaan memandu dalam keadaan mabuk dan bertindak luar kawalan apabila anggota polis cuba mengambil botol yang dipegangnya.

"Selepas berulang kali memberi arahan agar suspek kekal dalam kereta, pemandu itu berdegil untuk keluar dari kenderaan dengan menendang pintu, sekali gus memaksa anggota polis menggunakan kekerasan untuk memastikan lelaki itu mematuhi arahan.

"Lelaki itu tetap mahu keluar dari kenderaan dan akhirnya anggota polis bertugas terpaksa menembaknya menggunakan pistol perenjat elektrik," katanya,

Lelaki berkenaan telah ditahan untuk siasatan sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut akibat kecederaan kecil.

Siasatan berhubung tindakan ganas polis itu juga disiasat. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram