Tindakan PM berseloroh minta nombor pelajar perempuan ibarat tidak hormat kaum wanita — Muda


  • Politik
  • Ahad, 25 Jun 2023

Anwar Ibrahim semasa sesi dialog bersama mahasiswa dalam program Temu Anwar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Sabtu. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk memohon maaf secara terbuka atas tindakannya meminta nombor telefon seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun dalam sebuah program baru-baru ini.

Meskipun ia dilihat sebagai satu gurauan, Timbalan Presiden Parti Ikatan Muda Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz menegaskan, perbuatan itu disifatkan sebagai tidak menghormati kaum wanita.

Apatah lagi ujarnya, Anwar mewakili golongan yang mempunyai pangkat dan kedudukan, jadi beliau perlu memberi contoh yang baik kepada kaum lelaki di luar sana.

"Anwar perlu meminta maaf secara terbuka untuk menunjukkan contoh yang baik kepada lelaki lain.

"Buat mereka faham bahawa kelakuan ini tidak baik. Terutama datang daripada seseorang yang mempunyai kedudukan kuasa.

"Jika anda kagum dengan sifat wanita tersebut, puji sahaja dia, tidak perlu membuat komen sebegitu," ciapnya di Twitter pada Ahad.

Amira Aisya menggesa Anwar untuk memohon maaf secara terbuka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu menambah, amat malang melihat ramai dalam kalangan lelaki dewasa menganggap tindakan tersebut sebagai satu bahan gurauan.

"Berapa ramai gadis muda yang terpaksa melalui 'gurauan' ini dan tidak dapat berkata apa-apa kerana orang seperti kalian meminta mereka untuk bertenang," katanya.

Dalam sebuah program yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu malam, seorang pelajar perempuan bertanyakan soalan mengenai bagaimana generasi muda boleh membantu Malaysia menjadi negara kelas pertama serta rancangan kerajaan untuk memulihkan semula nilai Ringgit.

Menerusi klip video yang disiarkan di Astro Awani itu, Anwar dilihat memuji kepetahan Adriana bersuara dan membangkitkan soalan dengan baik.

"Kalau saya muda saya dah minta nombor telefon dah," katanya secara berseloroh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram