'Latihan amali bukan kerja biasa', PM gesa syarikat beri elaun munasabah


  • Primer
  • Isnin, 19 Jun 2023

Anwar beramah mesra bersama beberapa pelajar IPT selepas majlis pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada Isnin. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru syarikat supaya mempertimbangkan pemberian elaun yang munasabah kepada pelatih industri bagi menampung keperluan harian mereka seperti kos tambang dan makanan.

Beliau, bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan menetapkan satu kaedah pembayaran yang jelas kepada pelatih industri memandangkan latihan itu bukan bersifat paksaan.

"Kita faham latihan amali bukan pekerjaan biasa, itu peluang pendedahan awal tetapi berilah sikit elaun munasabah kerana perjalanannya, tambang dan makan.

"Saya sewaktu di pejabat ketua pembangkang di Parlimen, saya pun ambil pelatih industri dalam keadaan elaun ketua pembangkang masa dalam kerajaan dulu hanya RM1,800 tambahan.

"Saya terpaksa cari dana untuk bayar sekurang-kurangnya RM1,000 pada masa itu untuk pelatih industri,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Isnin. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mengenai CMGP, Anwar berkata, ia merupakan platform yang menyediakan latihan kepada 9,000 bakal graduan bagi mendapatkan pendedahan pekerjaan dalam industri pasaran modal, dengan 600 orang akan terjamin mendapat pekerjaan dalam masa tiga tahun.

KUALA LUMPUR, 19 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARAKUALA LUMPUR, June 19 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim delivered a speech at the launch of the Capital Markets Graduate Programme (CMGP) at the Securities Commission of Malaysia today.--fotoBERNAMA (2023) COPYRIGHT RESERVED

Anwar ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada Isnin. — Bernama

BACA LAGI : 'Intern' dianggap buruh percuma, perlukah sistem latihan praktikal dimansuhkan?

Beliau berkata, program CMGP juga selari dengan aspirasi MADANI yang menyediakan peluang untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan dalam industri pasaran modal kepada graduan muda.

"Ini hal yang menarik kerana ia hanya menyentuh satu bidang. Di bidang lain kita belanja kira-kira RM6.7 bilion setahun untuk program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan kejayaannya, 95 peratus dapat pekerjaan tetapi masalahnya upah itu masih RM2,000 ke bawah.

"Apa langkah kita ambil? Syarikat-syarikat gergasi harus ambil alih sepenuhnya atau sebahagian TVET umpamanya Proton diminta ambil alih TVET di Pekan (Pahang) dan beberapa syarikat lain kita ambil tindakan sama,” kata Anwar.

Beliau berkata, kerajaan percaya persiapan awal yang dijalankan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta beberapa kementerian lain berkaitan belia adalah sebagai persiapan awal untuk memastikan kecekapan bidang TVET. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram