Orang Aceh, Bangla jadi bos, 'takluk' bisnes pekan Meru Klang


  • Massa
  • Khamis, 22 Jun 2023

Golongan pendatang warga asing semakin menguasai kawasan di pekan Meru, Klang, Selangor. — Awani

LAMBAKAN warga asing di daerah Klang, Selangor, kian meruncing dengan pendatang dari Bangladesh dan Aceh dilihat mendominasi pekerjaan dan perniagaan penduduk.

Antara kawasan yang terkesan dengan situasi itu adalah di pekan Meru, Klang yang semakin dipenuhi golongan terbabit.

Merupakan antara destinasi tumpuan pekerjaan, beberapa kawasan perindustrian kilang sememangnya menjadi pilihan pendatang asing yang menjadikan sektor itu sebagai pekerjaan utama di negara ini.

Dalam pada itu, segelintir masyarakat khususnya peniaga tempatan mula berasa terancam dengan kelibat pendatang yang berkeliaran di kawasan berkenaan.

Turut mendapat saingan dalam aktiviti perniagaan di premis niaga dan pasar malam yang dikatakan mula dikuasai golongan terbabit, salah seorang peniaga gedung pakaian di Meru, meluahkan kekecewaannya berhubung isu tersebut.

mm

Gedung pakaian di Meru, Klang semakin didominasi pemilik golongan pendatang warga asing. — Gambar hiasan

Alice Yong, 32, yang merupakan pemilik premis perniagaan di kawasan berkenaan, berkongsi detik getirnya yang sebelum ini pernah hampir muflis akibat wabak Covid-19.

Berjaya bertahan sehingga ke hari ini, isu pendatang warga Aceh dan Bangladesh pula dilihat sebagai ancaman terbesar dalam perniagaannya dengan golongan itu sudah mula menceburi bidang tersebut.

"Ramai warga Aceh dan Bangladesh sudah mula berniaga di Meru, mereka buka gerai secara kecil-kecilan dan rata-rata pelanggan mereka terdiri daripada rakan mereka sendiri.

"Siapa sangka, mereka boleh buka gerai di pasar malam dan ada premis niaga yang saya rasa dijalankan secara haram, tetapi boleh bertahan dan hidup di Malaysia.

"Sedangkan saya juga terpaksa lepaskan gerai di pasar malam kerana tak mampu menanggung kos kerugian, inikan pula mereka yang datang dari negara luar boleh ada gerai sendiri, siapa yang luluskan?," soalnya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Alice turut berkongsi pengalamannya apabila pekerja di premisnya pernah diganggu secara seksual oleh golongan berkenaan.

Jelasnya, kelibat individu warga asing tersebut yang sering berkeliaran di kawasan kedainya mengundang rasa tidak selesa bagi pekerja mahupun pengunjung.

"Mereka gemar berjalan beramai-ramai dan akan menjeling kami dengan pandangan yang menakutkan.

"Pekerja saya ramai perempuan dan lelaki Bangladesh ada yang gatal suka melihat ke bahagian yang tidak sepatutnya, mereka pada mulanya takut kepada kami namun selepas beberapakali terserempak, mula tunjuk perangai yang bukan-bukan.

"Dua pekerja saya sebelum ini pernah berhenti kerana tidak tahan diganggu setiap hari, ada yang cuba menyentuh tangan dan saya terpaksa melepaskan kedua-duanya demi keselamatan mereka," tambahnya.

Gusar dengan ciri keselamatan diri dan kerugian perniagaan yang semakin meruncing kebelakangan ini, pemilik kedai itu juga turut berharap agar pihak berkuasa segera menjalankan tinjauan dan siasatan terhadap perkara tersebut.

Menurutnya, sebelum ini pernah ada beberapa kali pihak polis membuat tangkapan namun tidak lama kemudian, keadaan kembali seperti sediakala dengan warga asing semakin membanjiri kawasan sekitar Meru. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram