Rider Ducati maut nahas SUKE: Suspek beri keterangan untuk lengkapkan kertas siasatan


  • 112
  • Selasa, 20 Jun 2023

Mangsa maut terjatuh dari ketinggian kira-kira 30 meter dari Lebuhraya SUKE di susur Hulu Klang di Ampang, Selangor pada Rabu lalu. — Telegram/Info Semasa Official

PIHAK polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi tercampak ke bawah Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di Ampang, Selangor pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, keterangan suspek yang merupakan penunggang motosikal jenis Yamaha dipercayai punca kemalangan terbabit juga telah diambil.

Menurutnya, kertas siasatan berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

"Selain suspek, keterangan beberapa saksi yang melibatkan operator kamera litar tertutup Lebuhraya SUKE juga telah dirakam, siasatan lanjut kini masih dilengkapkan untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek masih lagi cedera, namun berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Azam berkata, motosikal milik suspek dan mangsa turut dihantar untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.

Majoriti pada Rabu lalu melaporkan seorang lelaki maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya sebelum jatuh dari jambatan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di sini.

Mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.

Mangsa kemudian melanggar penghadang sebelah kiri jalan sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram