[VIDEO] Tayar pecah punca treler kontena terbabas di Klang


  • 112
  • Isnin, 19 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan lori kontena (kiri) terbabas di susur Jalan Pelabuhan Barat menghala Gravit8 @ Klang South pada petang Isnin.

MALANG tidak berbau apabila sebuah lori kontena terbabas akibat tayar pecah di susur Jalan Pelabuhan Barat menghala Gravit8 @ Klang South, di Klang, Selangor pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong menerusi satu laporan awal berkata, insiden tersebut berlaku kira-kira pukul 4 petang melibatkan lori terbabit tiba-tiba hilang kawalan selepas tayarnya pecah di jalan raya tersebut.

Menurutnya, pemandu kenderaan tersebut mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun setakat ini, pihak polis belum mendapat sebarang laporan berkaitan insiden tersebut.

"Tiada kesesakan jalan raya berlaku. Kes masih dalam siasatan," katanya pada Isnin.

Sementara itu, video kemalangan terbabit turut tular di media sosial memaparkan lori berkenaan terbabas ke tepi jalan dan melanggar pokok di kawasan kejadian.

Video berdurasi seminit 45 saat itu turut memaparkan seorang lelaki terbaring berdekatan lori berkenaan dipercayai pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan terbabit.

Majoriti masih menunggu laporan penuh daripada pihak polis berhubung insiden terbabit. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram