MAJLIS Belia Orang Kurang Upaya Malaysia (MBOKU) bersedia mendengar segala luahan dan permasalahan yang dihadapi oleh golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini.
Setiausaha Agung MBOKU, Muhammad Ghazali Othman berkata, pihak persatuan akan cuba untuk menyuarakan isu yang berbangkit dalam kalangan kelompok itu ke peringkat yang lebih tinggi dengan mengambil langkah ke arah yang lebih diplomatik.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan seorang OKU penglihatan, Ehsan Mohamed yang pernah diusir oleh individu mendakwa dirinya sebagai penguat kuasa di sekitar Stesen Setiawangsa, Kuala Lumpur kerana berniaga di lokasi berkenaan.
Dalam masa sama, Muhammad Ghazali turut meminta Ehsan supaya memanjangkan aduan tersebut kepada persatuan peniaga memandangkan mereka bergerak sebagai penjaja.
"Tindakan menghalau individu tersebut daripada berniaga itu mungkin perlu dilihat daripada peraturan sedia ada sekiranya ingin menjaja di tempat awam.
"Jadi kami galakkan agar pihak bertanggungjawab seperti persatuan peniaga kecil dan sederhana untuk membantu mereka ini," katanya kepada Majoriti.
Muhammad Ghazali berhasrat untuk membawa isu yang dihadapi golongan OKU kehadapan supaya lebih didengari.
Dalam pada itu, dia turut kesal dengan dakwaan Ehsan bahawa terdapat individu mengaku sebagai penguat kuasa yang meminta wang daripada dia dan isteri serta menyelongkar beg peribadinya.
"Namun yang paling dikesalkan adalah menyelongkar barangan peribadi dan terpaksa bayar wang kepada pegawai penguat kuasa. Ini yang mesti dipandang serius.
"Melanggar hak serta merampas harta benda seseorang tanpa urusan rasmi adalah salah.
"Diharap perkara ini tidak dilakukan lagi oleh seseorang yang memegang jawatan sebagai penguat kuasa dan semoga hak saudara Ehsan sekeluarga dibela sebagai seorang OKU.
"Kami juga akan membawa isu OKU kehadapan dan lebih didengari agar ia tidak berulang," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram