KEMUDAHAN orang kurang upaya (OKU) sepatutnya tidak disalah guna atau dihalang oleh mereka yang sihat tubuh badannya.
Tular di media sosial sebuah video memaparkan sebuah van meletakkan kenderaan di tepi jalan yang menghalang laluan orang buta.
Video berdurasi 29 saat itu menunjukkan seorang lelaki buta yang membawa anak kecil terpaksa berada di pejalan kaki yang tidak mempunyai laluan guidance block bagi memudahkan perjalanan golongan tersebut.
"Ini kawan-kawan, ini trek (pejalan kaki) orang buta, tengok van punya besar. Macam mana nak jalan kalau dah parkir (atas trek pejalan kaki orang buta), macam mana nak jalan.
"Kami kena (jalan) ke tepilah, (berpotensi) jatuh longkang. Bahaya untuk keselamatan kami," katanya dalam video tersebut.
Sementara itu, pengguna Twitter @AbudiAlsagoff yang memuat naik video tersebut di akaunnya dalam nada sindiran menganggap bahawa Inspektor Sheila yang tular dengan kelantangannya berkata-kata sepatutnya ada di lokasi untuk menyelesaikan masalah tersebut
"Patut kes macam inilah hantar (Inspektor) Sheila, baru betul! Kasihan orang OKU.
"(Tapi) lupa pula Sheila dah kena tangkap," ciapnya pada Ahad.
Pada Ahad, pegawai polis wanita yang terbabit dalam kejadian menghina dan mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada anggota polis pangkat bawahan di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Khamis lalu, ditahan polis pada Ahad.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan wanita berusia 35 tahun itu dibuat awal pagi tadi bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.
Terdahulu, wanita berkenaan tular memarahi dan memalukan seorang pegawai polis berpangkat rendah yang sedang menjalankan tugas di Medan Selera Lebuh Utama, Taman Sri Gombak, Batu Caves pada Khamis.
Menerusi video berdurasi 26 saat itu, wanita berkenaan yang memakai baju kemeja putih dilihat meninggikan suara terhadap anggota polis berkenaan sambil merendah-rendahkan dan mempersoalkan pangkat anggota terbabit.
Dalam kes berasingan pada Sabtu, tular satu lagi video membabitkan pegawai polis wanita itu di kawasan parkir pusat beli-belah di Brickfields, Kuala Lumpur.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat wanita terbabit, kejadian berlaku ketika dia bersama ibu dan neneknya yang berada di dalam kereta.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang sebuah kenderaan ingin masuk ke parkir kosong dan pemandu membunyikan hon serta memarahi wanita terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram