[VIDEO] Polis trafik letak motor di parkir OKU kena saman


  • 112
  • Khamis, 01 Jun 2023

Tangkap layar video tular memaparkan motosikal polis trafik berkenaan dikunci kerana diletakkan di tempat parkir OKU di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya pada Isnin.

TIDAK terlepas daripada undang-undang. Seorang anggota polis trafik menerima padah selepas disaman kerana meletakkan motosikal milik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di tempat letak kenderaan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Perbuatan itu dirakam dalam satu video tular insiden tersebut yang berlaku di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, Selangor, pada Isnin lalu.

Menerusi klip berkenaan, motosikal terbabit didapati dikunci oleh seorang pengawal keselamatan di bangunan berkenaan kerana diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.

Bagaimanapun, pengawal itu kemudiannya dilihat membuka kunci terbabit dengan anggota polis tersebut kemudiannya beredar.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya melakukan siasatan lanjut selepas mengesan video tular itu yang dimuat naik pada Khamis.

Susulan daripada itu, beliau memaklumkan saman sudah dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya terhadap anggota terbabit.

"Pihak polis ingin mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya agar mematuhi arah papan tanda jalan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya termasuk agensi penguat kuasa yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram