'Sampai tunjuk isyarat jangan beli', penjaja tisu OKU bukan minta sedekah, terkilan kena halau berniaga di stesen LRT


  • Massa
  • Rabu, 21 Jun 2023

Ehsan yang OKU penglihatan sepenuhnya hanya bekerja sebagai peniaga jalanan bersama isteri untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

"KAMI dihalau seperti anjing hanya gara-gara berniaga tisu di stesen kereta api."

Demikian luahan seorang peniaga orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Ehsan Mohamed yang mengakui terkilan apabila niatnya untuk mencari rezeki dihalang oleh segelintir pihak.

Kongsi Ehsan, meskipun dia sekeluarga menerima bantuan sebanyak RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah tersebut tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka empat beranak.

Justeru, Ehsan dan isteri, Nur Hidayah Jefri, 37, yang juga OKU penglihatan nekad menjual barangan seperti tisu kering, tisu basah dan kerepek di stesen-stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan kedai makan di sekitar ibu kota.

Ehsan yang OKU penglihatan sepenuhnya hanya bekerja sebagai peniaga jalanan bersama isteri untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Bagaimanapun, Ehsan mendakwa, dia pernah diusir oleh individu mendakwa dirinya sebagai penguat kuasa di sekitar Stesen Setiawangsa, Kuala Lumpur kerana berniaga di lokasi berkenaan.

"Baru-baru ini kami dihalau seperti anjing sedangkan kita jual barang tu ada label harga.

"Katanya kami tidak dibenarkan meminta sedekah di situ sedangkan kami meniaga, bukan minta sedekah.

"Malah pekerja itu juga menghalang orang lain yang ingin membeli barang daripada kami. Kami tahu sebab ramai yang beritahu kami lelaki berkenaan menunjukkan isyarat tangan 'jangan beli'," katanya ketika ditemui Majoriti pada Selasa.

Luahnya, jika hanya mengharap pada wang bantuan daripada kerajaan, pasti sukar untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.

"Nak beli lampin anak pun susah, duit untuk makan, bayar sewa rumah, bil air dan elektrik lagi. Kami makan RM20 sehari sahaja untuk empat orang.

"Kami hanya dapat RM450 untuk menyara empat mulut, dah sampai masanya untuk golongan seperti kami bangun dan memperjuangkan nasib kami dengan rakan-rakan," ujarnya.

Ehsan mengakui terkilan apabila niatnya untuk mencari rezeki dihalang oleh segelintir pihak.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga mendakwa pernah beberapa kali 'dipau' oleh penguat kuasa di kawasan Ampang dengan menahan mereka ketika meniaga.

Dakwanya, boleh dikatakan hampir setiap hari ada penguat kuasa akan menahan penjaja OKU dan meminta 'duit tepi' daripada mereka sekiranya tidak ingin diheret ke balai polis.

"Ada individu mendakwa dirinya polis selalu 'pau' kami, mereka beranggapan apa yang kita buat ni satu jenayah. Beberapa orang dah terkena di Ampang, sampai kami sendiri trauma nak berniaga di sana.

"Berapa saja hasil pendapatan yang ada di tangan ketika itu, semua kita kena bagi, sedangkan setahu saya, adalah menjadi kesalahan untuk pihak polis menyelongkar beg peribadi seseorang tanpa waran dan arahan mahkamah.

"Kami diugut macam-macam, nak hantar masuk penjaralah, kami nak cari makan jadi terpaksa juga bagi (duit)," dakwanya.

Dia bagaimanapun tidak membuat laporan polis berhubung perkara itu kerana bimbang dengan ugutan individu berkenaan.

Pada masa sama, dia berharap suara nasib golongan kurang upaya seperti dirinya dapat diperjuangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, persatuan OKU dan seangkatan dengannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram