'Surau bau kepam, tandas kotor', peniaga di Shah Alam resah isu gelandangan tidak berpenghujung


  • Massa
  • Isnin, 19 Jun 2023

Seorang wanita dipercayai kurang siuman sedang membasuh perkakasnya di bawah pokok berhampiran surau di Terminal 17, Shah Alam, Selangor.

BIASA kita mendengar golongan gelandangan ini ramai berpeleseran kaki lima, depan kedai dan di lorong-lorong di Kuala Lumpur.

Namun kini, difahamkan kelompok tersebut boleh ditemukan di Shah Alam, Selangor dan menumpang teduh di surau serta menggunakan kemudahan awam untuk membersihkan diri.

Tinjauan Majoriti di sebuah surau awam di Seksyen 17, Shah Alam, Selangor menjumpai beberapa orang gelandangan menumpang tidur di premis berkenaan.

Hasil tinjauan turut menemui wanita dipercayai kurang siuman tiba-tiba keluar daripada tandas lelaki selepas usai membersihkan diri.

Seorang peniaga, Mohd Raihan Abdul Ghani, mendedahkan masalah tersebut berlaku sejak negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu hingga kini.

WhatsApp Image 2023-06-19 at 6.47.49 PM

Sekumpulan lelaki dipercayai gelandangan menumpang di sebuah surau berdekatan Terminal 17, Shah Alam, Selangor sehingga menyukarkan orang awam untuk menggunakan kemudahan tersebut.

Katanya, kehadiran mereka di sekitar Terminal 17, Shah Alam Selangor itu secara tidak langsung menyukarkan orang awam menggunakan kemudahan seperti tandas dan surau kerana ia berbau kepam dan kotor.

"Di sini selain ada gelandangan, ada juga orang gila yang menumpang di sini. Ada masanya dia (orang gila perempuan) selamba mandi di tandas lelaki.

"Dulu ramai (gelandangan) di Kuala Lumpur sahaja, sekarang di Shah Alam pun dah ramai," katanya kepada Majoriti.

Peniaga lain yang ingin dikenali sebagai Kalsom berkata, ada masanya jumlah gelandangan yang berteduh di surau tersebut boleh mencapai sehingga lapan orang dalam satu masa.

Dia yang berniaga sejak 22 tahun lalu itu turut memaklumkan pernah ada kes penagih dadah turut menumpang di surau berkenaan, namun kemudiannya ditahan polis.

WhatsApp Image 2023-06-19 at 7.14.41 PM

Salah seorang gelandangan dipercayai bekerja sebagai penghantar makanan turut menumpang di surau tersebut.

"Kita tidak kisah untuk beri makan (percuma), tapi agak mengganggu dari kebersihan kerana ada yang datang dengan luka yang banyak pada badan.

"Kasihan juga mereka, tapi ada yang datang dengan kudis. Jadi agak kurang bersihlah," katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga yang ingin dikenali sebagai Shidah berkata, beberapa aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa tentang gelandangan tersebut, namun golongan berkenaan sering dilihat muncul kembali.

"Saya baru setahun berniaga di sini, tapi penat jugalah kalau asyik buat aduan dan isu masih tidak selesai," katanya.

Sementara itu, Majoriti dalam usaha menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan isu tersebut. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram