SEORANG individu maut dipercayai lemas di sebuah perkampungan Bajau Laut dekat Pulau Omadal di Semporna, Sabah pada Sabtu.
Lebih memilukan lagi, individu yang hanya dikenali sebagai Tebek itu didakwa lemas selepas terkena sawan ketika cuba berenang mengejar sebuah bot yang membawa pelancong ke pulau tersebut.
Kisah menyayat hati Tebek itu turut dikongsikan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Iskul Sama diLaut Omadal melalui akaun TikTok @iskulomadal pada Ahad.
Menurut NGO berkenaan, individu malang yang tidak didedahkan jantinanya itu juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU) mental.
"Tebek anak OKU (mental) yang meninggal semalam (Sabtu) disebabkan lemas ketika mengejar bot pelancong.
"Tragedi ini boleh dielakkan jika terdapat satu prosedur jelas untuk menjaga kelakuan pelancong yang datang ke komuniti Bajau Laut di sini," katanya.
Tegas NGO itu lagi, komuniti Bajau Laut seharusnya diberikan layanan yang sepatutnya daripada dilayan sedemikian.
"Bajau Laut ini manusia yang punya komuniti, bukan binatang yang ditempatkan ke dalam zoo untuk dilihat dan diambil gambar sesuka hati.
"Mereka perlu pendidikan, mereka perlu bimbingan, bukan membudayakan mereka untuk meminta-minta, sehingga dianggap 'biasa' dan itulah budaya mereka yang sebenar.
"Mereka ada maruah! Semoga Tebek aman di sana. Anak syurga," tulisnya lagi.
NGO tersebut turut memuat naik satu video memaparkan seorang wanita bernama Jalna dipercayai adik kepada Tebek menceritakan tragedi sayu tersebut.
"Adik mati lemas disebabkan dia kejar bot orang putih (pelancong) yang 'mengumpan' kanak-kanak di sini dengan memberikan mereka gula-gula.
"Dia terkena sawan dan tenggelam (lemas) di laut masin. Kalau bukan disebabkan pelancong itu dia tidak akan mati lemas," luahnya dalam keadaan sayu.
Untuk makluman, sebahagian besar masyarakat Bajau Laut di Semporna tinggal di dalam bot atau di pondok yang dibina di atas air.
Kebanyakan mereka juga tidak tidak mempunyai taraf kerakyatan yang sah.
Iskul Sama Dilaut Omadal berperanan memperjuangkan nasib komuniti ini dan menyediakan sebuah sekolah masyarakat di Pulau Omadal bagi memberikan pendidikan asas untuk kanak-kanak Bajau Laut yang tidak mempunyai status sejak 2015. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram